SEBELUM PENDAKWAH TURUN KE MASYARAKAT,JANGAN LUPA TURUNKAN 'DIRIMU' DIHADAPAN ALLAH
BERDAKWAH pada jalan ALLAH SWT dengan reda dan sabar menghadapi ujian di jalan ini adalah sifat terpuji yang sukar dicapai.
Seorang pendakwah perlu berakhlak terpuji, penampilan yang baik, beretika, dan bersifat mulia sebagai qudwah hasanah kepada masyarakat. Ini kerana akhlak, keperibadian dan penampilan seorang pendakwah itu akan menjadi sandaran serta rujukan kepada umum.
Perkara pokok yang perlu diambil berat oleh seorang pendakwah itu ialah menjaga pergaulan dan perbuatan daripada perkara yang boleh menimbulkan fitnah orang ramai. Lebih-lebih lagi pada zaman serba canggih ini. Fitnah dan tuduhan jahat boleh direka dan dicipta di hujung jari sahaja
Kesimpulannya, pendakwah itu hendaklah mendahulukan contoh perbuatannya daripada ucapannya kerana dakwah melalui perangai atau akhlak yang baik adalah media yang paling berkesan kepada masyarakat yang akan menjadikannya sebagai contoh (idola) untuk diikuti.
Perlulah diingati, orang yang pernah menyuruh orang lain berbuat baik sementara dirinya sendiri melanggarnya adalah orang yang bakal menempuh seksaan yang berat pada hari akhirat kelak.
Daripada Usamah bin Zaid RA bahawa dia pernah mendengar Nabi SAW bersabda: "Pada hari kiamat kelak seseorang itu akan dicampakkan ke dalam neraka, maka keluarlah ususnya dan dia berpusing seperti seekor keldai mengelilingi batu kisaran. Penghuni neraka lainnya pun menghampirinya dan bertanya: "Wahai saudara, mengapakah ini semua terjadi? Bukankah saudara adalah orang yang pernah menyuruh kepada perkara makruf (kebaikan) dan mencegah perkara yang mungkar (kejahatan)?" Maka dia menjawab: "Benar, akulah yang pernah menyuruh kamu berbuat makruf dan melarang kamu berbuat kemungkaran, tetapi aku sendiri yang melanggarnya." (Riwayat Muslim)
Oleh itu, hiasilah diri dengan akhlak yang terpuji, penampilan yang baik, etika pergaulan yang bersopan dan sifat-sifat mulia yang lain supaya tidak tergolong dalam kalangan orang yang hanya bercakap kosong tetapi tidak mengamalkannya.
Kita mesti sentiasa ingat, keberkesanan tugas dakwah bergantung kepada diri pendakwah itu sendiri. Terlalu banyak peraturan dan syarat untuk memenuhi kriteria sebagai seorang pendakwah. Sekiranya dakwah tidak begitu berkesan atau memberi banyak perubahan, ingatlah itu kerana kelemahan dan kesilapan diri, bermuhasabah dan baikilah diri serta penampilan, berdoalah agar ALLAH membantu dan memberkati usaha kita.
Comments
Post a Comment