( FATIMAH AZZAHRA’ ) COMEL PIPI MERAH DIAMBIL SEMPENA NAMA ANAK RASULULLAH SAW
FATIMAH AZ-ZAHRA (COMEL PIPI MERAH)
Alhamdulillah baru-baru
ini rakyat Malaysia berkongsi kegembiraan dengan kelahiran puteri tercinta buat
pasangan Selebriti No.1 negara iaitu Dato’ Siti Nurhaliza dan suaminya yang
sudah lama menantikan cahaya mata dan kini Allah telah memberi satu hikmah kepada
pasangan ini untuk kita mengambil iktibar iaitu HIKMAH SABAR DAN TAWAKKAL. Tahniah
sekali lagi buat mereka atas kelahiran ini.
Namun hari ini saya
ingin berkongsi hikmah di sebalik gelaran nama yang diberi sepanjang seminggu buat anak beliau sempena mengambil barokah
Penghulu Wanita Syurga iaitu Saiyyidatina Fatimah r.anha. Siapakah Fatimah
sebenarnya?
Dia membesar dalam
suasana kesusahan. Bondanya pergi ketika usianya terlalu muda dan masih
memerlukan kasih sayang seorang ibu. Sejak itu, dialah yang mengambil alih
tugas menguruskan rumahtangga seperti memasak, mencuci, mengemas rumah dan
menguruskan keperluan ayahandanya. Di sebalik kesibukan itu,
dia juga adalah seorang yang paling kuat beribadah. Keletihan yang ditanggung
akibat seharian bekerja menggantikan tugas ibunya yang telah pergi itu, tidak
pula menghalang Sayidatina Fatimah daripada bermunajata dan beribadah kepada
Allah SWT. Malam- malam yang dilalui, diisi dengan tahajud, zikir dan siangnya
pula dengan sembahyang, puasa, membaca Al Quran dan lain-lain. Setiap hari,
suara halusnya mengalunkan irama Al Quran.
Di waktu umurnya
mencapai 18 tahun, dia dikahwinkan dengan pemuda yang sangat miskin hidupnya.
Bahkan oleh kemiskinan itu, untuk membayar mas kahwin pun suaminya tidak mampu
lalu dibantu oleh Rasulullah SAW. Setelah berkahwin kehidupannya berjalan dalam
suasana yang amat sederhana, gigih dan penuh ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.
Digelar Singa Allah, suaminya Sayidina Ali merupakan orang kepercayaan
Rasulullah SAW yang diamanahkan untuk berada di barisan hadapan dalam bala
tentera Islam. Lalu, seringlah Sayidatina Fatimah ditinggalkan oleh suaminya
yang pergi berperang untuk berbulan-bulan lamanya. Namun dia tetap redha dengan
suaminya. Isteri mana yang tidak mengharapkan belaian mesra daripada seorang
suami. Namun bagi Sayidatina Fatimah r.ha, saat-saat berjauhan dengan suami
adalah satu kesempatan berdampingan dengan Allah SWT untuk mencari kasih-Nya,
melalui ibadah-ibadah yang dibangunkan.
Sepanjang pemergian
Sayidina Ali itu, hanya anak-anak yang masih kecil menjadi temannya. Nafkah
untuk dirinya dan anak-anaknya Hassan, Hussin, Muhsin, Zainab dan Umi Kalsum
diusahakan sendiri. Untuk mendapatkan air, berjalanlah dia sejauh hampir dua
batu dan mencedoknya dari perigi yang 40 hasta dalamnya, di tengah bahang
mentari padang pasir yang terik. Kadangkala dia berlapar sepanjang hari. Sering
pula dia berpuasa dan tubuhnya sangat kurus hingga menampakkan tulang di
dadanya.
Pernah suatu hari,
sedang dia tekun bekerja di sisi batu pengisar gandum, Rasulullah datang
berkunjung ke rumahnya. Sayidatina Fatimah yang amat keletihan ketika itu lalu
meceritakan keperitan hidupnya itu kepada Rasulullah SAW. Betapa dirinya teruk
bekerja, mengisar tepung, mengangkat air, memasak serta melayan anak-anak. Dia
berharap agar Rasulullah dapat menyampaikan kepada Sayidina Ali, kalau mungkin
boleh disediakan untuknya seorang pembantu rumah. Rasulullah saw merasa belas
terhadap penanggungan anakandanya itu. Namun baginda amat tahu, sesungguhnya
Allah memang menghendaki kesusahan bagi hamba-Nya sewaktu di dunia untuk
membeli kesenangan di akhirat. Mereka yang rela bersusah payah dengan ujian di
dunia demi mengharapkan keredhaan-Nya, mereka inilah yang mendapat tempat di
sisi-Nya.
Lalu dipujuknya Fatimah
r.ha sambil memberikan harapan dengan janji-janji Allah. Baginda mengajarkan zikir, tahmid dan takbir yang apabila diamalkan, segala penanggungan dan bebanan
hidup akan terasa ringan. Ketaatannya kepada Sayidina Ali menyebabkan Allah SWT
mengangkat darjatnya. Sayidatina Fatimah tidak pernah mengeluh dengan
kekurangan dan kemiskinan keluarga mereka. Tidak juga dia meminta-minta hingga
menyusah-nyusahkan suaminya.
Dalam pada itu,
kemiskinan tidak menghilang Sayidatina Fatimah untuk selalu bersedekah. Dia
tidak sanggup untuk kenyang sendiri apabila ada orang lain yang kelaparan. Dia
tidak rela hidup senang dikala orang lain menderita. Bahkan dia tidak pernah membiarkan
pengemis melangkah dari pintu rumahnya tanpa memberikan sesuatu meskipun
dirinya sendiri sering kelaparan. Memang cocok sekali pasangan Sayidina Ali ini
kerana Sayidina Ali sendiri lantaran kemurahan hatinya sehingga digelar sebagai
'Bapa kepada janda dan anak yatim' di Madinah.
Namun, pernah suatu
hari, Sayidina Fatimah telah menyebabkan Sayidina Ali tersentuh hati dengan
kata-katanya. Menyedari kesilapannya, Sayidatina Fatimah segera meminta maaf
berulang-ulang kali. Apabila dilihatnya air muka suaminya tidak juga berubah,
lalu dengan berlari-lari anak dia mengelilingi Sayidina Ali. Tujuh puluh kali
dia 'tawaf' sambil merayu-rayu memohon dimaafkan. Melihatkan aksi Sayidatina
Fatimah itu, tersenyumlah Sayidina Ali lantas memaafkan isterinya itu.
"Wahai Fatimah,
kalaulah dikala itu engkau mati sedang Ali tidak memaafkanmu, nescaya aku tidak
akan menyembahyangkan jenazahmu," Rasulullah SAW memberi amaran kepada
puterinya itu apabila perkara itu sampai ke pengetahuan baginda. Begitu sekali
kedudukan seorang suami yang ditetapkan Allah SWT sebagai pemimpin bagi seorang
isteri. Betapa seorang isteri itu perlu berhati-hati dan sangat berhalus di
saat berdepan dengan suami. Apa yang dilakukan Sayidina Fatimah itu bukanlah
disengajakan. Apatah lagi, bukan juga dia merungut-rungut, marah-marah,
meninggi suara, bermasam muka, merajuk atau lain-lain keranah yang menyusahkan
Sayidina Ali k.w. Pun Rasulullah SAW berkata begitu terhadapnya.
Semasa perang Uhud,
Sayidatina Fatimah telah turut sama merawat luka Rasulullah. Dia juga turut
bersama Rasulullah semasa peristiwa penawanan Kota Makkah dan ketika
ayahandanya mengerjakan 'Haji Wida' pada akhir tahun 11 Hijrah. Dalam
perjalanan haji terakhir ini Rasulullah SAW telah jatuh sakit. Sayidatina
Fatimah tetap di sisi ayahandanya. Ketika itu Rasulullah membisikkan sesuatu ke
telinga Fatimah r.ha yang membuatkannya menangis, kemudian Nabi SAW membisikkan
sesuatu lagi yang membuatkannya tersenyum.
Dia menangis kerana
ayahandanya telah membisikkan kepadanya berita kematian baginda. Namun, sewaktu
ayahandanya menyatakan bahawa dialah orang pertama yang akan berkumpul dengan
baginda di alam baqa', gembiralah hatinya. Sayidatina Fatimah meninggal dunia
enam bulan setelah kewafatan Nabi SAW, dalam usia 28 tahun dan dimakamkan di
Perkuburan Baqi', Madinah.
Begitu sekali wanita
yang utama, agung dan namanya harum tercatat dalam al-Quran, disusah-susahkan
hidupnya oleh Allah SWT. Sengaja dibuat begitu oleh Allah kerana Dia tahu
bahawa dengan kesusahan itu, hamba-Nya akan lebih hampir kepada-Nya. Begitulah
juga dengan kehidupan wanita-wanita agung yang lain. Mereka tidak sempat
berlaku sombong serta membangga diri atau bersenang-senang. Sebaliknya, dengan
kesusahan-kesusahan itulah mereka dididik oleh Allah untuk sentiasa merasa
sabar, redha, takut dengan dosa, tawadhuk (merendah diri), tawakkal dan
lain-lain. Ujian-ujian itulah yang sangat mendidik mereka agar bertaqwa kepada
Allah SWT. Justeru, wanita yang berjaya di dunia dan di akhirat adalah wanita
yang hatinya dekat dengan Allah, merasa terhibur dalam melakukan ketaatan
terhadap-Nya, dan amat bersungguh-sungguh menjauhi larangan-Nya, biarpun diri
mereka menderita.
Moga dengan kita
membaca dan mengingati sedikit manaqib kisah Sayyidatina Fatimah R.anha
moga-moga keberkatan dan kebaikan melimpah buat kita semua. Anugerah terindah
dari Allah,hikmah terbesar buat kita semua,hayati pengajarannya.
*Nama sebenar yang diberi adalah Siti Afiyah. Semoga menjadi anak solehah dan taat pada ibu bapa, perintah Allah dan Rasul. :)
Gambar dipinjam dari sumber :Google
Gambar dipinjam dari sumber :Google
Comments
Post a Comment